NIBONG TEBAL: Kementerian Komunikasi akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membendung penularan berita palsu di media sosial sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, tidak lama lagi.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, pemantauan platform berkenaan sememangnya dilaksanakan untuk menangani kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab.
“Saya lihat kebiasaannya, apabila berlangsung PRK negeri atau Pilihan Raya Umum (PRU), memang akan ada pasukan yang meneliti kesemua platform ini.
“Penelitian dilaksanakan iaitu di peringkat kementerian dan peringkat badan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) selain agensi serta jabatan lain antaranya Jabatan Penerangan.
“Insya-Allah, (jawatankuasa) akan kita buat untuk PRK nanti,” katanya selepas menghadiri Program Sembang Santai bersama Ketua Komuniti Madani Parlimen Nibong Tebal di Sungai Bakap, di sini hari ini. -UTUSAN










