PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenal pasti beberapa laman media sosial yang memaparkan dakwaan maklumat siasatan yang dibocorkan berkaitan kes Zayn Rayyan kepada umum.
Dalam kes itu, pihak SKMM sudah mengemukakan permohonan kepada pengendali platform media sosial termasuk TikTok dan Telegram untuk penurunan kandungan terbabit.
“Penyebaran dakwaan maklumat siasatan kes tersebut merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan boleh mengganggu perbicaraan kes.
“SKMM memberi peringatan kepada orang ramai untuk tidak berkongsi maklumat tidak sahih atau palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, pengguna media sosial dinasihatkan untuk memadam hantaran atau sebarang komen yang boleh menimbulkan spekulasi.
Jelasnya, berkongsi maklumat tidak sahih atau palsu boleh menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
“Ia serta denda lanjutan sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan tersebut diteruskan selepas pensabitan,” katanya.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan akan menjalankan siasatan susulan penyebaran maklumat didakwa fakta siasatan berkaitan kes pembunuhan Zayn Rayyan yang tular di media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dipetik berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan SKMM bagi menyekat penyebaran maklumat terbabit termasuk menurunkan kandungan dikesan dimuat naik di Telegram. – UTUSAN