Tidak pamer tanda harga kesalahan utama peniaga 

Tidak pamer tanda harga kesalahan utama peniaga 

LILIS Saslinda Pornomo (kiri) bertanyakan kepada seorang peniaga ayam berhubung bekalan dan harga barangan semasa mengetuai pemeriksaan dibuat KPDN JOHOR di pasar raya KipMall Tampoi, Johor Bahru, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Gagal mempamerkan tanda harga terhadap barangan jualan kekal menjadi kesalahan utama yang dilakukan golongan peniaga di negeri ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, perkara itu dikesan pihaknya menerusi pemantauan dan operasi yang dijalankan pihaknya secara berkala.

Sehubungan itu, tindakan tegas mengikut undang-undang akan diambil sekiranya peniaga terus berdegil walaupun nasihat dan advokasi dibuat.

“Kita ada rekod peniaga-peniaga yang buat kesalahan ini secara berulang, sekiranya mereka masih berdegil dan gagal pamer tanda harga kita akan ambil tindakan. Tiada maaf bagimu, ini sebagai pengajaran kepada semua.

“Apabila disoal siasat, banyak alasan diberi seperti barangan baru sampai, tidak sempat pamer tanda harga atau pekerja asing tidak faham prosedur, tetapi itu bukan alasan.

“Sebaliknya pemilik syarikat yang merupakan warga tempatan, pihak majikan perlu mendidik pekerja untuk sentiasa mempamerkan tanda harga bagi memudahkan pengguna membuat pembelian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemantauan terhadap bekalan dan harga barangan di pasar raya KipMall Tampoi di sini, hari ini.

Sementara itu, berdasarkan tinjauan dibuat, masih terdapat ramai dalam kalangan peniaga yang tidak mempamerkan tanda harga sehingga ditegur penguat kuasa KPDN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×