KPDN Johor gagalkan cubaan seleweng diesel bernilai RM20,716

KPDN Johor gagalkan cubaan seleweng diesel bernilai RM20,716

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Cubaan seorang pemandu lori menyeleweng 800 liter minyak diesel gagal selepas tindakan mencurigakan tersebut dikesan Unit Ronda Penguat Kuasa (URP) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor di Lebuhraya Pasir Gudang, di sini petang semalam.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, lori tersebut ditahan bagi pemeriksaan lanjut kira-kira pukul 2 petang.

Katanya, 800 liter diesel yang cuba diselewengkan itu melibatkan nilai RM20,716.

“Pemeriksaan mendapati bahagian belakang lori itu telah diubahsuai dengan pemasangan dua pam yang disambungkan terus daripada tangki asal ke tangki tambahan jenis Intermediate Bulk Container (IBC).

“Tangki berkenaan dipercayai mengandungi kira-kira 800 liter minyak diesel,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, modus operandi itu digunakan pihak tidak bertanggungjawab tersebut bagi tujuan pemindahan dan penyimpanan minyak diesel secara tidak sah.

“Pemeriksaan lanjut terhadap pemandu mendapati lelaki tempatan berkenaan gagal mengemukakan dokumen sah termasuk permit khas bagi menyimpan atau tujuan pembelian bahan api itu.

“Susulan itu, satu tindakan kes telah dihasilkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Sebarang usaha menyeleweng barang kawalan termasuk melalui pengubahsuaian kenderaan merupakan kesalahan serius dan tidak akan dikompromi,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN