PETALING JAYA: Tindakan sesetengah pemilik perniagaan menaikkan harga jualan barangan masing-masing selepas kenaikan diesel bermula Isnin lalu dipertikai kerana dilakukan dalam tempoh singkat selain pelbagai bantuan telah disediakan kepada mereka.
Sehingga kini beberapa syarikat telah mengeluarkan notis mengenai kenaikan harga barangan, jualan serta perkhidmatan pada hari pertama pelaksanaan penstrukturan subsidi bahan api itu.
Antaranya restoran, syarikat penunda kenderaan, syarikat pembinaan dan pengeluar konkrit serta syarikat perkhidmatan sewaan bas.
Bendahari Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin menggesa kerajaan memantau peningkatan mendadak pemilik-pemilik perniagaan tersebut bagi mengelak pengguna menjadi mangsa.
Katanya, tindakan itu menimbulkan persoalan sama ada mereka benar-benar terkesan atau sengaja mengambil kesempatan.
“Berdasarkan pemerhatian kami, memang nampak banyak pihak secara tiba-tiba menaikkan harga dengan kenaikan itu yang dilihat melampau. Mungkin guna alasan diesel naik, mereka pun kena naikkan harga.
“Jadi, kerajaan perlu pantau. Sebab mentaliti industri apabila ada kenaikan memang mereka terus naik harga. Sedangkan tiada kaitan dengan kenaikan diesel atau mungkin kenaikan sikit tetapi ambil kesempatan dengan peningkatan melampau.
“Selain itu, tidak dinafikan ada kenaikan pihak yang tidak mendapat subsidi diesel, tetapi kenaikan tersebut tidak sepatutnya meningkat mendadak,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Kerajaan memutuskan harga diesel di semua stesen runcit petrol di seluruh Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula Isnin lalu dengan harganya boleh berubah setiap minggu mengikut harga semasa.
Penyasaran subsidi diesel ini dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan melalui penggunaan fleet card di bawah sektor logistik di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Mereka yang memperoleh kelulusan SKDS tetapi belum menerima fleet card boleh memohon pembayaran semula subsidi secara tunai ini bermula 1 Julai depan melalui portal Budi Madani.
Mengulas lanjut, Nur Asyikin berkata, kerajaan perlu melakukan pemantauan lebih aktif dalam tempoh sebulan ini bagi mengekang tindakan melampau pihak industri.
Katanya, pihaknya memahami pelaksanaan penstrukturan subsidi bersasar diesel itu masih baharu dan mungkin ramai yang keliru.
“Kerajaan kena siasat adakah kenaikan berpatutan atau sekadar ambil untung atas angin dengan menggunakan alasan tidak dapat subsidi terus naik harga.
“Sebab kenaikan itu dipindahkan kepada pengguna dan akhirnya pengguna terbeban,” katanya.
Dalam pada itu, aktivis pengguna, Dr. Lee Nan Sang menyeru persatuan, gabungan dan pengusaha industri untuk sabar dan berbincang dengan kerajaan dalam menyelesaikan masalah tanggungan kos berlebihan itu.
“Ambillah masa untuk menyelesaikannya, bukannya hari ini diumumkan struktur subsidi diesel dikemaskini dan tidak sampai masa sehari cadangan kenaikan harga barangan telah disyorkan dengan kadar yang agak membebankan pengguna,” katanya.
Pada masa sama, beliau mempersoalkan sama ada penstrukturan subsidi bahan api itu dilakukan dalam tempoh masa yang tepat.
“Saya bersetuju dengan penstrukturan semula sistem subsidi diesel, kerajaan dapat menjimatkan berbilion ringgit setahun dan kerajaan mempunyai bajet yang lebih banyak untuk melaksanakan pembangunan kepada negara dan akhirnya memanfaatkan rakyat di negara ini, tetapi adakah sekarang masa yang tepat dan sesuai?
“Inflasi sedang berlaku, beban saran hidup rakyat meningkat akibat harga barangan yang telah naik, penukaran mata wang yang lemah, suasana pelaburan yang masih belum dipulihkan.
“Saya menyeru kerajaan supaya mengambil kesempatan untuk berbincang dan berunding dengan semua pihak agar segala perubahan polisi atau penstrukturan semula dilaksanakan dengan impak yang tidak begitu besar,” katanya. – UTUSAN










