The Red Giant kemuka rayuan kepada MFL - Utusan Malaysia

The Red Giant kemuka rayuan kepada MFL

MFL
MOHD. Najwan Halimi (tengah) bersama atlet Selangor yang menerima insentif kecemerlangan SPM 2024 di, Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pasukan Selangor FC akan mengemukakan rayuan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan sedang dalam proses tersebut susulan tindakan dikenakan ke atasnya selepas tidak hadir pada perlawanan Piala Sumbangsih untuk menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada 10 Mei lalu.

The Red Giant tetap mengemukakan rayuan terhadap tindakan tersebut walaupun MFL membuat pindaan terhadap hukuman dikenakan termasuk pengurangan denda daripada RM100,000 kepada RM60,000, pembatalan pemotongan tiga mata dan membenarkan penonton hadir perlawanan antara Selangor FC dan JDT.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, pasukan tersebut akan menggunakan segala saluran yang ada untuk mendapatkan keadilan di peringkat yang tertinggi, walaupun hukuman berkurangan.

“Sama ada Selangor FC sudah menghantar surat rayuan atau sebaliknya, itu saya tidak pasti. Anda kena tanya pihak pengurusan Selangor FC berhubung hal ini.

“Apa-apa keputusan yang dibuat Selangor FC selepas ini, kita (kerajaan negeri) akan memberikan sokongan dan dorongan dari belakang. Kerajaan negeri sedia membantu mereka,” katanya selepas menyampaikan insentif kecemerlangan atlet Selangor di Hotel Concorde, semalam.

Terdahulu, Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan untuk mengurangkan hukuman terhadap Selangor FC, seperti yang mereka putuskan pada Selasa lalu.

Langkah tersebut diambil selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kekecewaan terhadap tindakan badan bola sepak itu yang enggan menerima permohonan penangguhan perlawanan dengan JDT sebelum ini hingga menyebabkan Selangor FC didenda akibat tidak memenuhi jadual perlawanan Piala Sumbangsih dengan skuad Harimau Selatan.

Malah, baginda turut menzahirkan rasa murka apabila tindakan MFL tidak mengambil kira ancaman yang diterima oleh pemain-pemain Selangor FC seperti dihadapi penyerangnya, Faisal Halim.

Dalam pada itu, Mohd. Najwan memaklumkan lebih RM40,000 berjaya dikumpulkan melalui Tabung Solidariti Bersama Selangor FC, dalam tempoh kurang 48 jam tabung tersebut dilancarkan.

“Kami akan buat kutipan sehingga 2 Julai dengan semua wang terkumpul akan diberikan kepada Selangor FC untuk membayar denda kepada MFL. Kerajaan negeri tidak sesen pun kerana memang tujuannya untuk mengumpul dana bagi membayar denda tersebut.

“Orang ramai boleh buat sumbangan sehingga 2 Julai ini. Kami tidak letakkan sebarang jumlah tertentu bagi setiap individu untuk menderma. Nak derma RM1 pun boleh,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN