Terlalu banyak podcast? Itu lebih baik - Adriana Adnan - Utusan Malaysia

Terlalu banyak podcast? Itu lebih baik – Adriana Adnan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KINI memiliki sebuah podcast kendaliannya yang diberi nama Ruang Terbuka, pelakon dan pengacara, Adriana Adnan, cukup sedar bahawa dia bukanlah individu pertama yang menghasilkan program bual bicara sedemikian.

Meskipun begitu, sebagai seorang anak seni, sudah tentu, dia layak mengukir senyuman penuh bangga dengan kewujudan Ruang Terbuka yang mana, ia membolehkan wanita berusia 30 tahun ini menggali pelbagai perkongsian menarik daripada sudut pandangan dan pengalaman individu lain yang diundang.

Malah, mungkin akan ada cakap-cakap belakang yang cuba menyamakan podcast kendalian Adriana dengan ruangan seumpamanya yang lain. 

Maklum sahajalah, pada waktu ini, bukan main ramai mereka yang membuka podcast lebih kurang sama, cuma cara, gaya dan pengisiannya sahaja yang mungkin tampak berbeza.

Bagi bekas hos program HLive ini, lambakan podcast yang ada dalam talian tidak mewujudkan nilai persaingan buatnya.

Bahkan, secara peribadi, Adriana berkata, dia lebih suka melihatnya sebagai satu hal yang perlu dirai memandangkan ia memberikan pendengar atau penonton lebih pilihan mengikut selera masing-masing.

“Bagi saya, bila ada galakan itu lebih baik. Banyak pilihan tersaji kepada pendengar dan itu bagus. Ada banyak isu yang boleh diketengahkan contohnya kita boleh kupas isu mengenai artis, perniagaan, kehidupan, industri atau sesebuah sektor, macam-macam lagi.

“Mungkin di platform saya sahaja tidak mencukupi, jadi ada platform lain yang juga boleh bantu isi topik-topik tertentu,” katanya.

Tambah Adriana, kewujudan Ruang Terbuka pula bukan untuk bersaing dengan mana-mana podcast sedia ada kerana apa yang penting, dirinya dapat melepas rindu mengacarakan sebuah program santai.

“Saya mahu Ruang Terbuka menjadi tempat di mana semua orang merasa selesa untuk berkongsi cerita mereka, tidak kira siapa mereka.

“Kita hidup dalam dunia yang penuh dengan pelbagai pandangan dan cerita, dan saya mahu podcast ini menjadi satu ruang yang selamat untuk semua orang berkongsi apa yang mereka rasa dan alami.

“Pada masa yang sama, saya ini memang suka benda-benda berkonsepkan ‘infotainment’. Bila dapat berbual dengan orang lain, ia membuatkan saya rasa terisi. Malah, podcast juga membolehkan saya tak perlu untuk memakai ‘topeng wajah’ lain. Saya boleh jadi diri sendiri,” katanya.

Mahukan Khairy Jamaluddin

Berkongsi lanjut, kata Adriana, dia secara peribadi juga menyimpan hasrat untuk menemu bual 

bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin atau KJ sebagai tetamu undangan di Ruang Terbuka.

Bagi Adriana, KJ merupakan antara individu berpengaruh yang sudah lama ingin ditemu bual dan sekiranya berpeluang berbuat demikian, ia bagaikan satu impian yang berjaya dicapai.

“Musim pertama Ruang Terbuka sudah selesai dirakamkan. Untuk musim kedua, saya berharap sangat dapat undang KJ sebagai tetamu.

“Saya dah lama teringin nak berborak dan nak bertanyakan soalan tentang transisi daripada bergelar seorang ahli politik kini beralih profesion sebagai selebriti dan pempengaruh.

“Saya nak tanya dengan KJ nanti, antara ahli politik dan selebriti, yang mana satu lebih menyeronokkan,” katanya.

Dalam pada  itu, Adriana turut terbuka sekiranya ada mana-mana saluran podcast yang ingin bekerjasama dengannya.

“Saya tahu KJ ada podcast kendaliannya bersama Shahril Hamdan iaitu Keluar Sekejap. Mana tahu, jika ada yang berminat nak berkongsi dalam satu podcaster untuk projek khas. Kenapa tidakkan?

“Kisah politik dengan gabungan dunia hiburan, saya rasa agak menarik untuk diperdengarkan oleh semua orang,” katanya.

Ruang Terbuka turut mendapat kerjasama FYP Entertainment dan mula bersiaran sejak Mac lalu di Youtube. Ia juga turut ditayangkan di Youtube Adriana Adnan setiap Rabu.

Dengan pelancaran Ruang Terbuka, Adriana tidak hanya meneruskan kerjaya hosnya, tetapi juga membuka ruang untuk dialog yang lebih mendalam dan bermakna. 

Ruang Terbuka mula ditayangkan sejak 23 Mac, setiap Rabu, jam 5 petang di saluran Youtube Adriana Adnan.

Bagi musim pertama, sebanyak lapan episod telah ditayangkan dengan mengupas pelbagai topik menarik.

Musim pertama Ruang Terbuka menampilkan tetamu-tetamu istimewa seperti Sheddy Ang, Cikgu Zizi Kirana, Liyana Jasmay, Aizat, Lisa, Hawa Ridzwana, Ahirie Ahiruddin, dan Syamimia. 

“Musim pertama kita dah ada ramai selebriti dan pempengaruh, jadi untuk musim kedua nanti saya nak berikan ‘spotlight’ kepada orang biasa pula,” katanya. 

Ini merupakan satu langkah yang sangat dinantikan oleh para penonton kerana ia memberikan platform kepada suara-suara yang kurang mendapat perhatian dalam media arus perdana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×