Tentera Darat sedia hantar pasukan pengaman ke negara bergolak - Utusan Malaysia

Tentera Darat sedia hantar pasukan pengaman ke negara bergolak

TENGKU Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim (depan) bergambar bersama pegawai dan anggota tentera yang menyertai acara penutup Eksesais Tiger Strike di Kem Sri Pantai, Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Tentera Darat Malaysia (TDM) menyatakan kesediaan untuk menghantar pasukan pengaman ke negara bergolak sekiranya khidmat mereka diperlukan.

Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, anggota tentera negara berkemampuan untuk ditugaskan di wilayah yang sedang mengalami konflik.

Beliau berkata, pembabitan tentera Malaysia kelak bukan sahaja berperanan sebagai pasukan pengaman bahkan juga dapat menaikkan imej negara di persada dunia.

“Kita pernah ke Bosnia dan sekarang ramai anggota kita di Lubnan, jadi saya cukup yakin anggota tentera negara berupaya melaksanakan sebarang tugas yang diamanahkan.

“Penglibatan tentera Malaysia bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini contohnya telah berjaya melonjakkan imej dan nama negara di mata dunia.

“Saya percaya tiada masalah untuk anggota tentera Malaysia berkhidmat di mana-mana negara kerana kita sangat berkemampuan,” ujarnya.

Beliau ditemui selepas acara penutup Eksesais Tiger Strike melibatkan pasukan 10 Briged (Para) dan 15th Marine Expeditionary Unit (MEU) Tentera Marin Amerika Syarikat di Kem Sri Pantai, Seberang Takir, di sini, hari ini.

Menurut Tengku Muhammad Fauzi, latihan ketenteraan itu bertujuan meningkatkan keupayaan operasi dan kemahiran tempur selain simbolik hubungan bilateral antara kedua-dua negara.

Jelas beliau, seramai 117 pegawai dan 676 anggota lain-lain pangkat Malaysia dan Amerika Syarikat terlibat dalam eksesais tersebut merangkumi fasa pengurusan staf, pelaksanaan latihan dan taktikal medan.

“Malaysia dalam proses membina keupayaan serta mendokumenkan latihan ini agar selari dengan Kertas Putih Ketenteraan yang telah diluluskan di peringkat Parlimen sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN