DUNGUN: Seekor tapir jantan seberat kira-kira 350 kilogram ditemukan mati dipercayai dilanggar lori berhampiran Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan penemuan bangkai tapir itu daripada pengguna jalan raya, kira-kira pukul 8.30 pagi.
“Ketika kita tiba di lokasi kejadian, tapir tersebut telah mati dengan kesan kecederaan akibat dipercayai dilanggar lori.
“Anggota Perhilitan kemudiannya telah menanam bangkai tapir tersebut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kean Seong berkata, pihaknya meminta orang ramai untuk segera menghubungi talian hotline Perhilitan iaitu 1800 88 5151 sekiranya terlanggar hidupan liar.
“Tindakan segera ini penting untuk tujuan menyelamat sekiranya haiwan itu masih hidup,” katanya. – UTUSAN










