GEORGE TOWN : Lelaki yang bertindak menikam leher ibunya hingga mati dengan menggunakan sebilah gunting di sebuah pangsapuri di Relau di sini petang semalam dijangka direman hari ini.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid.
Menurut beliau, suspek yang juga merupakan pesakit mental berusia 40 tahun itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Polis akan mendapatkan perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret (George Town) pagi ini,” katanya ketika dihubungi di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang semalam itu, mangsa yang berusia 67 tahun dijumpai mati di tempat kejadian dalam keadaan berlumuran darah pada leher.
Sementara itu, Razlam memberitahu, motif pembunuhan masih disiasat kerana ketika kejadian, hanya suspek dan mangsa berada di dalam rumah tersebut.
“Semasa ditahan, suspek berada di bahagian ruang tamu rumah manakala mayat ibunya pula dijumpai berada di dalam bilik tidur,”ujar beliau.-UTUSAN










