GEORGE TOWN : Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan kerana disyaki telah melakukan penganiayaan terhadap seekor kucing sehingga mati.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid berkata, suspek telah ditahan di Jelutong petang semalam.
“Suspek iaitu seorang lelaki berusia 40-an telah ditahan dan dia ditahan di kawasan Jelutong,” katanya di sini hari ini.
Semalam, Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika mengecam tindakan membungkus kucing dalam guni sebelum mengikat dan melemparnya ke dalam sungai oleh suspek yang dikenali sehingga menyebabkan haiwan itu mati.
Arie turut berharap agar individu zalim yang melakukan aksi jenayah terhadap haiwan itu dapat diheret ke muka pengadilan.
Susulan kes tersebut, polis menggiatkan usaha memburu seorang lelaki yang dipercayai telah melakukan penganiayaan terhadap seekor kucing sehingga mati.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015.-UTUSAN










