KANGAR: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri giat melaksanakan beberapa siri program Perantisan Seni bagi mencari pelapis untuk kesenian warisan tradisional yang terdapat di Perlis.
Program itu bertujuan menaikkan semula kesenian warisan seperti Awang Batil, Alu Bunyi dan Hadrah yang sememangnya sinonim dengan negeri ini.
Pengarah JKKN negeri, Norazlin Nordin berkata, pelaksanaan siri program tersebut adalah sebagai usaha bagi membantu mendepani cabaran untuk mencari pelapis dalam semua kesenian warisan tersebut.
“Kita setakat ini memang dah nampak beberapa bakat yang boleh diketengahkan ke arah itu, namun mereka ini masih perlu digilap.
“Dan kita juga harapkan mereka ini bolehlah meneruskan kesenian warisan ini walaupun tidak sehebat tokoh sedia ada, namun sekurang-kurangnya dapat membuat persembahan di hadapan penonton,” katanya selepas program Jom Santai Media Bersama JKKN Perlis di Kayangan Square di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Norazlin berkata, cabaran dihadapi JKKN bagi mencari pelapis masa hadapan adalah berikutan golongan muda masa kini kurang minat menceburi bidang kesenian warisan secara serius.
Katanya, bakat-bakat sedia ada ketika ini telah terlibat dalam bidang kesenian sejak dari awal dan bukannya muka baharu yang meminati warisan tersebut.
“Oleh sebab itulah kita fokus pada mereka yang sudah nampak bakat ke arah kesenian dan akan gilap mereka bagi menyambung warisan ini dengan serius,” katanya. – UTUSAN










