Subsidi bersasar kurangkan separuh aktiviti seludup diesel

Subsidi bersasar kurangkan separuh aktiviti seludup diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan subsidi bersasar diesel pada kadar RM3.35 seliter bakal mengurangkan aktiviti penyeludupan bahan api itu ke negara jiran sekurang-kurangnya 50 peratus dengan penjimatan hampir RM1 bilion setahun.

Berdasarkan kajian Kesatuan Eropah (EU), ASEAN dan Malaysia, kerajaan dianggarkan menanggung kerugian antara RM1.5 bilion hingga RM2 bilion setahun akibat aktiviti penyeludupan diesel sebelum pelaksanaan pe­nyasaran subsidi pada 10 Jun lalu.

Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, pelaksanaan subsidi bersasar pada kadar RM3.35 seliter dapat membantu mengurangkan isu penyeludupan yang menyumbang kepada ketirisan.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia tidak akan dapat menghapuskan aktiviti penyeludupan secara total kerana harga bahan api tersebut masih lebih murah berbanding Thailand.

“Harus diingat bahawa harga diesel Malaysia masih lagi rendah jika dibandingkan dengan negara jiran terutama Thailand yang menjual bahan api itu sekitar RM4.80 seliter.

“Namun aktiviti penyeludupan dijangka berkurangan ke­rana margin keuntungan yang diperoleh sebelum ini menjadi semakin kecil dan mungkin tidak lagi setimpal dengan risiko serta usaha dilakukan penyeludup bagi tujuan ini.

“Selain itu, pelaksanaan subsidi bersasar juga bertujuan mengawal dan mengurangkan aktiviti jenayah yang melibatkan penduduk tempatan dan penguat kuasa agensi tertentu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Mengulas lanjut, Bashir Ahmad berkata, secara keseluruhannya, kerajaan menjimatkan sebanyak RM4 bilion setahun dengan pelaksanaan subsidi bersasar tersebut.

“Bagaimanapun, impak dan hasil daripada pelaksanaan pe­nyasaran subsidi diesel bagi tujuan mencegah aktiviti penyeludupan seperti diwar-warkan oleh kerajaan, ia terlalu awal untuk membuat sebarang ke­simpulan atau spekulasi terhadap kesannya.

“Ini kerana penyasaran subsidi diesel negara yang dilakukan sangat baru, tidak sampai sebulan pelaksanaannya dan bagi tujuan ini sebarang impak dan hasil biasanya akan dapat dilihat sekurang-kurangnya dalam masa enam bulan pertama.

“Diesel adalah jenis barangan yang tidak anjal iaitu memberi kesan agak minimum terhadap permintaan jika harga dinaik atau diapungkan,” katanya.

Mengulas berhubung isu penyeludupan diesel ke Thailand, Bashir Ahmad berkata, punca utama perkara itu berlaku adalah disebabkan negara tersebut terkenal dengan aktiviti pertanian, perhutanan, pemakanan dan industri berat yang menggunakan jentera berat.

Justeru, katanya, tidak hairan jika penggunaan diesel di negara tersebut amat tinggi sehingga membuka ruang kepada aktiviti penyeludupan.

“Industri tersebut menyumbang kepada 50 peratus pendapatan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara itu setiap tahun.

“Sektor-sektor ini mempunyai permintaan tinggi untuk penggunaan jentera berat serta kende­raan berenjin kapasiti diesel malah penduduk negara itu juga hampir dua kali ganda daripada Malaysia ini juga menyumbangkan kepada pemilikan kenderaan berdiesel di sana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN