PETALING JAYA: Setelah hampir setahun mendirikan rumah tangga, pelakon, Intan Najuwa membuat keputusan untuk berehat daripada dunia lakonan.
Intan, 27, berkata, permintaan itu dibuat atas permintaan suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman yang ingin meluangkan lebih banyak masa bersama isterinya di rumah.
“Suami sangat memanjakan saya dan nampaknya, dia suka saya duduk di rumah.
“Disebabkan itu, saya tak akan buat apa-apa penggambaran untuk tahun ini, suami pun minta saya berehat sekejap,” jelasnya.
Intan juga memaklumkan rutin hariannya kini berubah dan menjadi lebih produktif berbanding sebelum ini.
“Saya tidur secukupnya, masak, makan dan melakukan Pilates,” ujarnya.
Pelakon drama Racun Rihanna itu juga turut memberi tumpuan perniagaan termasuk produk penjagaan rambut yang diusahakannya.
“Saya bekerja tanpa henti ketika bujang, kini bersyukur akhirnya berpeluang untuk berehat serta menghargai setiap saat bersama suami dan keluarga,” katanya.
Terdahulu, Intan atau nama penuhnya Intan Najuwa Abdul Wahid disatukan dengan Ahmad Azraf pada 18 Ogos 2023 dalam majlis yang berlangsung di sebuah pusat peranginan mewah di Desaru, Johor.
Pasangan tersebut dinikahkan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Datuk Dr. Nooh Gadot dalam majlis yang berlangsung di sebuah resort di Pantai Desaru, di sini.
Intan atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abdul Wahid menerima mas kahwin sebanyak RM20,000 berserta hantaran bernilai RM222,000. – UTUSAN











