PETALING JAYA: Langkah kerajaan menstruktur semula subsidi bahan bakar diesel untuk mengurangkan beban kewangan dan ketirisan dilihat tidak mengurangkan beban ekonomi rakyat.
Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Dr. Mahathir Mohd Rais berkata, isu penetapan harga bahan api yang berterusan adalah ujian penting integriti politik dan keberkesanan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, jurang yang semakin meningkat antara janji kempen dan pelaksanaannya adalah kebimbangan utama bagi rakyat, yang kesabarannya semakin berkurangan.
“Memandangkan perniagaan bakal menghadapi kos operasi yang melambung tinggi, perbelanjaan akan diturunkan kepada rakyat, membawa kepada harga yang lebih tinggi untuk barangan dan perkhidmatan yang memburukkan lagi krisis kos sara hidup.
“Pendekatan kerajaan terhadap penstrukturan semula subsidi, yang dikatakan untuk mencegah ketirisan kewangan dan menjimatkan RM4 bilion setiap tahun, tidak mengurangkan beban ekonomi rakyat Malaysia biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Akhbar ini semalam melaporkan, harga diesel di semua stesen runcit petrol di seluruh Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula semalam dengan harganya boleh berubah setiap minggu mengikut harga semasa.
Penyasaran subsidi diesel ini dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan melalui penggunaan fleet card di bawah sektor logistik di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi (SKDS).
Mereka yang memperoleh kelulusan SKDS tetapi belum menerima fleet card daripada syarikat minyak dikehendaki menyimpan resit pembelian diesel bagi membolehkan tuntutan pembayaran balik tunai dibuat kepada Kementerian Kewangan mengikut tatacara permohonan yang akan diumumkan kelak.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata, kenaikan harga bahan api terus membebankan bajet isi rumah harian dan janji-janji Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang tidak dipenuhi untuk mengurangkan kos ini telah menjadi titik tumpuan rasa tidak puas hati yang meluas di kalangan rakyat.
Selain itu, katanya, isu ketelusan dan ekuiti yang berterusan, terutamanya dengan perbezaan harga yang ketara antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak.
“Ramai yang melihat perbezaan harga ini sebagai strategi bermotifkan politik untuk meraih pengundi menjelang pilihan raya negeri, yang hanya meningkatkan ketidakpercayaan terhadap kerajaan.
“Ketidakhadiran Perdana Menteri dalam sidang akhbar penting mengenai topik sensitif seperti pelarasan harga bahan api ini dan menyerahkan pengumuman kritikal kepada Menteri Kewangan II menunjukkan ketidakberanian beliau untuk berhadapan dengan orang ramai mengenai kesan dasar yang menjadi perbalahan,” katanya. – UTUSAN










