Slam, magis yang tidak pernah luntur - Utusan Malaysia

Slam, magis yang tidak pernah luntur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERNYATA kumpulan Slam selayaknya diangkat sebagai legenda muzik tanah air apabila masih lagi mengekalkan ‘magis’ tersendiri dalam DFP Showcase: Slam yang diadakan pada 8 Jun lalu bertempat di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur.

Sebuah persembahan ikonik di dewan berprestij itu bukan sekadar diterjemahkan melalui naskah dan karya hebat, bahkan mampu mengimbau kembali nostalgia dan kegemilangan mereka di era 90-an.

Sebelum pentas dibuka, momen kemeriahan terlebih dahulu dirasai apabila segelintir penonton yang hadir bersorak dan memberikan tepukan gemuruh tanda keterujaan mereka menanti sebuah persembahan ikon muzik yang menjadi pujaan ramai sehingga kini.

Walaupun kumpulan Slam pernah menemui peminat dalam beberapa siri konsert terdahulu namun berada di pentas berprestij seperti ini adalah membanggakan, malah disifatkan sebagai satu penghormatan tertinggi buat anak seni seperti mereka.

Hampir seribu penonton yang hadir dilihat tidak berganjak dari kerusi malah turut sama asyik mengalunkan lagu-lagu yang diperdendangkan sekaligus memperlihatkan kepuasan mereka dalam menghayati momen indah yang dibawa kumpulan ini.

Mempertaruhkan anggota asal yang terdiri daripada Zamani (vokal), Shah (gitar), Lili (gitar bas) Eddie (keyboard) dan Man (dram) di pentas menjadikan persembahan malam itu cukup bernostalgia ibarat sesi reunion terindah antara peminat bersama kumpulan yang bertapak dari selatan tanah air ini.

Ternyata suara Zamani, 53, masih lagi padu dan unik apabila membuka tirai persembahan dengan seleksi lagu-lagu hits mereka seperti, Nur Kasih, Terasing Dalam Sepi, Kurnia, Entah Mengapa, Buat Seorang Kekasih dan Tiada Aku Jemu.

Walaupun dibebani dengan masalah kesihatan, Zamani tetap membuktikan keunggulannya sebagai penghibur yang disegani, malah semangat dan tenaga yang ditunjukkan berjaya membuatkan peminat lupa seketika tentang penyakit yang dialaminya sebelum ini.

“Dulu muda, sekarang dah berumur tapi kami masih tetap akan menghiburkan anda dengan lagu-lagu popular Slam pada malam ini,” ujarnya kepada penonton yang hadir.

Ungkapan tersebut disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh penonton, malah apa yang mengharukan sepanjang dua jam showcase berlangsung, mulutnya tidak lekang berterima kasih kepada seluruh peminat yang sentiasa menyokong perjuangannya selama ini.

“Walaupun keadaan kesihatan Zamani tidak begitu baik sejak kebelakangan ini, namun suaranya masih lagi kekal unik dan inilah contoh seorang artis yang boleh digelar sebagai penyanyi,” kata Zul Ha z, salah seorang penonton yang hadir pada malam itu.

Segmen kedua bersambung dengan menampilkan lagu-lagu terbaik mereka antaranya, Kembali Merindu, Tak Mungkin Berpaling, Mentari Muncul Lagi, Rayuan DI Puncak Genting, Malam Dan Semalam, Kembali Terjalin dan Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta, dendangan asal kumpulan Flybaits.

Menurut pemain gitar, Shah, 50, showcase pada kali ini membawa sedikit kelainan kerana menampilkan seleksi lagulagu yang jarang dibawa mereka pada konsert terdahulu.

“Malam ini kita beri kelainan. Lagu-lagu yang dibawa Slam adalah lagu yang jarang dimainkan sebelum ini. Kami tidak mahu peminat bosan dan jemu dengan setiap persembahan,” katanya.

Ketika persembahan dilihat melabuhkan tirainya, Zamani sempat memberitahu penonton bahawa malam itu mereka tidak akan membawakan lagu Gerimis Mengundang atas faktor tertentu, sekaligus mengucapkan terima kasih dan beredar bersama anggota kumpulannya.

Aksi spontan tersebut membuatkan penonton menjerit meminta supaya dia dan anggota kumpulan kembali menyambung persembahan.

Dan seperti yang diduga, itu adalah kejutan yang sengaja dicipta apabila mereka kembali semula ke pentas dan mendendangkan Gerimis Mengundang yang merupakan buah tangan terakhir Slam pada kemuncak persembahan.

14 buah lagu yang didendangkan dilihat menepati selera dan jiwa peminat yang hadir. Hampir kesemua berpuas hati malah mengiktiraf persembahan Slam pada malam itu adalah yang terbaik.

Perjalanan Showcase DFP: Slam malam itu adalah momen nostalgik yang cukup kemas, teratur dan bertenaga, sekali gus merupakan langkah berterusan DFP dalam mengangkat karya anak seni tempatan dan memberikan ruang untuk mereka mempamerkan bakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN