KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan menolak rayuan kerajaan Persekutuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) melakukan semakan kehakiman melibatkan isu hak 40 peratus hasil Sabah.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Ravinthran N. Paramaguru, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dan Datuk Dr. Choo Kah Sing membuat keputusan itu menerusi pendengaran kes secara dalam talian, hari ini.
Dalam keputusan yang dibacakan Ravinthran, SLS tidak mencabar geran khas sebaliknya, hanya mendesak mahkamah untuk mengambil kira pinjaman yang tidak dibayar untuk tahun-tahun kerugian, iaitu hanya mengenai masalah tafsiran Perlembagaan.
Pada pandangan panel hakim, perkara itu bukan sesuatu yang tidak dibenarkan, peguam SLS telah mengemukakan hujah mereka dalam permohonan semakan kehakiman bahawa SLS bukan hendak mencabar kesempurnaan undang-undang berkaitan geran khas.
Sekiranya berlaku sebegitu, ia akan segera menarik pertikaian berdasarkan apa yang telah dipersetujui oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah. Malah, SLS juga tidak memohon untuk melakukan semakan terhadap Perkara 112.
Mahkamah berpandangan fokus permohonan semakan kehakiman yang dibenarkan pada 2022 adalah untuk mengambil kira ‘tahun kerugian’ dan seperti dinyatakan Hakim Mahkamah Tinggi, perkara berkaitan tafsiran ini akan diputuskan melalui pendengaran penuh semakan kehakiman berkenaan.
Justeru, panel hakim mendapati mereka tidak boleh tidak bersetuju dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi berkaitan perkara berkenaan.
Kesimpulannya, mahkamah menolak rayuan kerajaan Persekutuan untuk mencabar permohonan semakan kehakiman yang diperoleh SLS.
Pihak berkaitan boleh mendapatkan arahan mahkamah untuk menetapkan tarikh perbicaraan penuh mengenai semakan kehakiman tersebut daripada Mahkamah Tinggi kerana kes ini melibatkan kepentingan awam.– UTUSAN











