PETALING JAYA: Anak pelakon era 80-an, Dharma Harun Al-Rashid, iaitu Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35, menangkis dakwaan orang ramai yang menuduhnya malas mencari wang menyebabkan keluarganya dihalau keluar kerana tidak mampu membayar sewa rumah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sebelum mendaftar menjadi pelajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) tahun lalu, dia sudah bekerja di rumah produksi bapanya, WWS Studios sejak tahun 2010.
“Sejak mengusahakan Adik Manja Returns pada tahun 2010, saya memang membantu ayah di rumah produksi sebagai penerbit eksekutif, penulis skrip selain menjadi pelakon dan model sambilan.
“Saya ambil keputusan untuk sambung pengajian di Aswara setelah melihat nasib pekerja belakang tabir semasa pandemik yang sukar mendapat pekerjaan sekiranya tidak mempunyai sijil kelulusan.
“Tambahan pula di Aswara, dengan kelulusan yang cemerlang semasa program asasi, saya boleh terus sambung ke peringkat Ijazah Sarjana di mana kelas hanya berlangsung selama tiga jam sehari. Masa selebihnya, saya boleh lakukan kerja tetap,” katanya.
Bekerja sambilan
Malah, menurut Syafiq, sejak menyambung pengajian Asasi Seni Kreatif, dia juga bekerja sambilan sebagai ‘barista’ di sebuah kedai kopi yang terletak di Setiawangsa, Kuala Lumpur untuk menampung hidup.
“Pagi hingga petang saya pergi kelas. Habis kelas saya akan terus sambung bekerja. Cuma semester ini memandangkan ada projek tahun akhir, saya hanya bekerja pada hujung minggu kerana mengejar kelas pada awal pagi.
“Saya bukan duduk senang saja. Bila orang kata saya malas, goyang kaki, terguris juga,” tambahnya.
Dalam pada itu, Syafiq juga menafikan dakwaan menyuruh bapanya yang berusia 68 tahun itu kembali bekerja untuk menyara keluarga.
“Sebelum sambung belajar, produksi kami sudah siapkan projek Deko Ibadah sebanyak 13 episod yang sepatutnya dibeli oleh TV Al Hijrah.
“Tapi mereka maklumkan lepas pilihan raya, mereka sudah tiada wang. Kami tawarkan harga lebih rendah, namun mereka masih enggan.
“Sekarang, saya minta ayah untuk hantar produk itu ke mana-mana stesen televisyen. Saya tidak pernah suruh ayah bekerja atau menjadi pengawal keselamatan sebab kita sudah ada produk,” ujarnya.
“Tapi mungkin ayah sudah tua dan langkahnya agak perlahan,” katanya.
Terdahulu, Dharma mencuri tumpuan apabila dikatakan bakal diusir dari rumah sewa kerana gagal membayar tunggakan mencecah RM7,500.
Dharma yang tinggal di rumah itu bersama dua anaknya iaitu Muhammad Al Syafiq dan Siti Qurratu Aini, 36, diberi masa sehingga hujung bulan ini untuk melunaskan hutang.
Pada 2019, Dharma mengalami serangan angin ahmar sehingga menyebabkan dirinya sukar bertutur dengan lancar. Beliau juga berdepan kesukaran mengingati sesuatu perkara termasuk mengalami asma. – UTUSAN










