IPOH: “Saya menyesal bagi anak pada dia, tidak sangka anak akan diserahkan semula dalam keadaan tidak bernyawa”.
Demikian luahan kecewa, Siti Nurhidayatul Akmar Mohd. Zamry, 28, ibu kepada Iman Adelia Yusullah, 5, yang meninggal dunia akibat didera ibu angkatnya dalam kejadian di Jalan Kledang Raya 23, Taman Malcop, Silibin di sini, minggu lalu.
Menurut Siti Nurhidayatul Akmar, anak ketiga daripada empat beradik itu diserahkan kepada rakan baiknya, Wan Fatimah Zahra Wan Abdullah, 27, untuk dijaga pada April lalu.
Katanya, dia menyerahkan anaknya di bawah jagaan wanita berkenaan kerana tertuduh tidak mempunyai anak walaupun telah lama berkahwin.
“Kenapa buat anak saya macam itu? Saya menyesal kerana bagi anak pada dia.
“Dua ke tiga hari sebelum meninggal, dia ada kata mahu hantar semula anak pada saya, tetapi tidak sangka saya dapat anak dalam keadaan sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding pendakwaan terhadap Wan Fatimah Zahra di Mahkamah Majistret Ipoh di sini hari ini.
Siti Nurhidayatul Akmar dari Felda Chini 2, Pahang itu hadir ke mahkamah ditemani beberapa ahli keluarga termasuk ibunya, Zanuriyah Mohd. Madzlan, 65.
Terdahulu, tertuduh yang juga suri rumah itu didakwa di hadapan Majistret S. Punitha kerana melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Iman Adelia di sebuah rumah di Taman Kledang Raya 23, Taman Malcop di sini antara 5 hingga 10 Jun 2024.
Pertuduhan terhadap wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.
Pada 10 Jun lalu, tertuduh bersama suami berusia 66 tahun ditangkap di kediaman mereka di Taman Malcop, Silibin di sini berikutan kematian anak angkat yang ditemukan dengan kesan lebam di badan.
Selain lebam di seluruh badan disyaki dipukul objek tumpul, pemeriksaan juga mendapati terdapat luka koyak dan lebam pada peranakan luar dan dubur mangsa.
Hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati punca kematian disebabkan pelbagai kecederaan akibat objek tumpul. – UTUSAN










