Sarawak berpotensi hasilkan grafit - Abang Johari

Sarawak berpotensi hasilkan grafit – Abang Johari

ABANG JOHARI TUN OPENG 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Industri perlombongan Sarawak mempunyai potensi besar dalam pengeluaran grafit (graphite), kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau  bagaimanapun menjelaskan, kajian menyeluruh berkaitan penerokaan dan pengurusan perlombongan bahan diperlukan.

“Grafit adalah bahan kimia yang diperlukan dalam sel bahan api dan pengeluaran hidrogen. Jika kita ada bahan ini bermakna kita ada potensi pendapatan, selain daripada perspektif saintifik. 

“Negeri kita (Sarawak) juga mempunyai biojisim dan ia mempunyai ciri-ciri tertentu yang membolehkan kita menghasilkan grafit. 

“Malah, Sarawak mempunyai banyak potensi dan bermungkin boleh menghasilkan grafit. Oleh itu, dalam pemprosesan hiliran, mineral boleh digabungkan untuk menghasilkan produk baharu,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Ibadah Qurban anjuran Jabatan Premier Sarawak di Wisma Sabati, Petra Jaya, hari ini. 

Abang Johari yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar negeri berkata, baru-baru ini Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan delegasinya dihantar ke Kanada untuk mengkaji pengurusan mineral.

“Kanada adalah salah sebuah negara terbaik dari segi pengurusan dan penerokaan mineral dan mereka melakukannya tanpa merosakkan alam sekitar kerana selepas melombong, tanah kawasan lombong dipulihkan.

“Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63, dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Syed Aman Ghazali turut menjadi sebahagian daripada delegasi itu dan saya sedang melihat laporan mereka (daripada lawatan kerja itu),” dedahnya. 

Beliau menambah, terdapat juga Jabatan Geologi dan Geosains yang telah ditugaskan dalam mengenal pasti sumber mineral yang terdapat di negeri ini. 

“Kita tidak mahu terlalu mengeksploitasi (sumber alam kami), sebaliknya hanya akan mengeluarkan sedikit sahaja.

“Perkara ini penting kerana Sarawak juga memiliki  produk sampingan yang berharga dan dianggarkan nilai sumber galian yang ada di negeri ini adalah RM1.25 trilion,” tambah Abang Johari.

Pada 7 Jun lalu, Sarawak dilaporkan komited untuk membangunkan sektor perlombongan secara mampan bagi mempercepatkan pembangunan sosio-ekonomi selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS) 2030.  –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN