Sanusi pelawa Pulau Pinang dapatkan lebihan air bersih dari Kedah

Sanusi pelawa Pulau Pinang dapatkan lebihan air bersih dari Kedah

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (tengah) Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) PN bagi kerusi N20 Sungai Bakap di pekarangan pejabat Pas Kawasan Nibong Tebal, Pulau Pinang malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mempelawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow untuk mendapatkan lebihan air bersih dari negeri itu yang disimpan di Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar di Kedah.

Muhammad Sanusi yang juga merupakan Menteri Besar Kedah membuat pelawaan itu sebagai alternatif kepada Pulau Pinang bagi mengatasi masalah ketiadaan air yang sering berlaku di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) ketika ini termasuk di Sungai Bakap.

“Saya ada lebihan air di LRA Lubuk Buntar. Kalau nak, ‘mai’ (datang) beli, saya boleh jual. Ada lebihan air di situ…dengan suci hati (akan jual).

“Tapi, syarat dia, (Pulau Pinang) kena beli. Tak boleh ambil ‘free’ (percuma) macam di Sungai Muda (Kedah),” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) PN bagi kerusi N20 Sungai Bakap di pekarangan pejabat Pas Kawasan Nibong Tebal, di sini, malam tadi.

Terdahulu, ketika berucap sempena majlis tersebut, Muhammad Sanusi berkata, PN akan menggunakan segala saluran yang ada ketika ini iaitu tidak hanya di media sosial untuk menyalurkan maklumat kepada rakyat semasa berkempen pada PRK kerusi DUN Sungai Bakap, 6 Julai nanti.

Hal ini demikian katanya, terdapat segelintir pihak yang mula menyekat kandungan berkaitan PN yang dimuat naik ke dalam media-media sosial.

“Kita sedar, ‘depa’ (Kerajaan Perpaduan) dah mula sekat kita (melalui penggunaan media sosial). Tapi, kita akan lipatgandakan lagi (hantaran). Ketika itu, kita boleh lihat berapa banyak ‘content’ (kandungan) yang mereka mahu sekat,” katanya.

Tambah Muhammad Sanusi, meskipun berdepan dengan pelbagai rintangan atau cabaran, jentera PN di seluruh kawasan akan ‘dikerah’ untuk turun membantu kempen Pas di Sungai Bakap sekali gus mempertahankan kemenangan yang diraih pada kerusi tersebut ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, tahun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini telah menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kerusi DUN Sungai Bakap jatuh pada 22 Jun dan 2 Julai selain memilih tarikh 6 Julai sebagai hari pengundian.

Pilihan raya tersebut terpaksa diadakan susulan kematian penyandang kerusi berkenaan yang mewakili PN, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) dari PKR, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×