RTS Link: Anthony sedia beri taklimat kepada Tun M

RTS Link: Anthony sedia beri taklimat kepada Tun M

ANTHONY Loke Siew Fook (tujuh dari kiri) bergambar bersama pegawai kanan pengangkutan ASEAN sempena 57th Asean Senior Transport Offical Meeting (STOM) di George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bersedia memberi taklimat khusus kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura.

Ia susulan kenyataan bekas Perdana Menteri itu terhadap pembinaan Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) yang kini sedang rancak dijalankan.

Anthony berkata, beliau menghormati Dr. Mahathir sebagai pemimpin negara, namun katanya, segala pandangan pemimpin tersebut mengenai projek berkenaan mestilah berdasarkan fakta yang tepat.

“Saya tidak tahu sama ada beliau dapat maklumat benar atau tidak, tapi, saya hormati Tun (Dr. Mahathir) sebagai bekas Perdana Menteri.

“Tetapi, biarlah bercakap berdasarkan fakta untuk menyatakan bahawa tidak ada pendedahan mengenai RTS, ini tidak betul.

“Kalau Tun mahu maklumat lengkap, saya bersedia untuk bagi taklimat khusus kepada beliau,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan 57th ASEAN Senior Transport Offical Meeting (STOM) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Dr. Mahathir menerusi hantaran di Facebook mengulas mengenai projek RTS Link yang sedang rancak dibina dan berkata, walaupun tidak mendengar banyak laporan mengenai projek berkenaan di dalam negara, namun, beliau percaya sudah tentu ia tidak boleh dibina tanpa kelulusan Kerajaan Malaysia.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, keputusan untuk membina semula projek RTS itu sebenarnya diluluskan ketika zaman pentadbiran Dr. Mahathir.

“Saya rasa Tun sudah lupa. Sebenarnya, keputusan untuk membina semula projek RTS ini diluluskan semasa pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri ketujuh.

“Saya ketika itu sebagai Menteri Pengangkutan. Saya yang bentangkan kertas Jemaah Menteri untuk meneruskan projek RTS ini dan diluluskan oleh Tun,” katanya.

Malah, Anthony berkata, pada 31 Oktober 2019, Dr. Mahathir sendiri hadir di Johor Bharu dan beliau turut menemani pemimpin itu pada sidang media berkaitan projek RTS.

“Tajuk berita ketika itu kerajaan teruskan Projek RTS Bukit Chagar ke Woodlands dan Dr. Mahathir ada di sana. Saya yang temani beliau pada sidang media tersebut. Beliau yang umumkan jadi mungkin beliau dah lupa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN