KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 7 Oktober ini bagi mendengar perbicaraan kes bekas ketua penolong setiausaha di Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menghadapi 11 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM6,000.
Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Shahrom Idris memaklumkan representasi yang dikemukakan Ku Aznal Shahri Ku Abd. Hamid, 49, ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Kira-kira 24 saksi pendakwaan dijangka memberikan keterangan dan mereka merupakan rakyat Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan lapan hari bermula 7 hingga 10 Oktober dan 18 hingga 21 November ini untuk perbicaraan kes.
Peguam Tabian Tahir yang mewakili tertuduh tidak membantah tarikh tersebut dan memaklumkan anak guamnya mengekalkan pengakuan tidak bersalah.
“Untuk makluman mahkamah, anak guam masih bekerja sebagai penjawat awam dan tidak digantung tugas,” katanya.
Pada 5 Mac lalu, Ku Aznal Shahri yang ketika kejadian berkhidmat sebagai Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat KDN, didakwa membuat tuntutan palsu melibatkan sewaan lima hotel berjumlah RM5,344, elaun perjalanan sebanyak RM645.50 dan bayaran tol RM63.40 yang kesemua berjumlah RM6,052.90.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat, KDN Putrajaya antara 2 Mei dan 7 Ogos 2018.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama. – UTUSAN










