GUA MUSANG: Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan selepas kerusi tersebut diisytiharkan kosong kelmarin.
Pengosongan itu susulan wakil rakyat sebelum ini Mohd. Azizi Abu Naim dilucutkan keahlian dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana menyokong kepimpinan Perdana Menteri sekali gus bercanggah dengan sasaran pucuk kepimpinan tertinggi parti.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata penduduk melihat pengosongan kerusi itu memberi ruang kepada mereka memilih wakil rakyat baharu yang mampu memberikan khidmat kepada pengundi di kawasan berkenaan.
Anak jati Kampung Pulau Setelu, Mokhtar Dahari Ibrahim, 44, berkata, dia tidak terkejut dengan pengumuman itu kerana sudah menjangkakannya selepas wakil rakyat kawasan tersebut sebelum ini membuat keputusan menyokong Kerajaan Persekutuan.
“Saya gembira jika ada pilihan raya semula. Saya setuju kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.
“Kami berharap dapat memilih pemimpin yang lebih berwibawa bagi memimpin dan membantu rakyat,” katanya.
Bagi penduduk Kampung Bertam Baru, Naim Sulaiman, 62, turut menyambut baik jika PRK diadakan semula bagi memilih wakil rakyat DUN Nenggiri yang baharu.
Katanya, penduduk mahu mahukan pemimpin yang memahami denyut nadi rakyat serta membantu rakyat DUN Nenggiri.
Semalam Utusan Online melaporkan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong bermula semalam.
Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak DUN Kelantan menerima satu notis bertulis daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu Mohd. Aziz Abu Naim dari Pas menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN Ab. Aziz Yusoff. – UTUSAN










