BESUT: Kira-kira satu hektar kawasan pusat pelupusan sampah di Kampung Paya Rawa, di sini, terbakar, semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerteh, Azam Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.50 petang.
Menurutnya, susulan itu, lapan kekuatan anggota serta pegawai bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran ini melibatkan keluasan hampir satu hektar daripada enam hektar di pusat pelupusan sampah itu dan pihak bomba dibantu syarikat projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sedang giat menjalankan kerja-kerja pemadaman.
“Kami juga terpaksa menggunakan jengkaut bagi melancarkan proses pemadaman di bahagian bawah timbunan sampah selain menggunakan kaedah pemadaman secara terus di kawasan terbakar,” katanya ketika dihubungi sini, hari ini.
Ujar Azam, kebakaran itu juga menyebabkan asap tebal dan sedikit sebanyak membataskan pergerakan anggota untuk penugasan pemadaman.
Tambahnya, pihaknya menjangkakan kebakaran itu dapat dikawal dan dipadamkan sepenuhnya dalam masa terdekat. – UTUSAN











