GEORGE TOWN : Program Asasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di politeknik membuka peluang kepada pelajar-pelajar aliran sastera dan kemanusiaan untuk meneruskan pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pendekatan berkenaan juga dapat menjamin tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan dan sains.
“Program Asasi TVET di politeknik telah membuka ruang kepada pelajar aliran sastera dan kemanusiaan yang mendapat kelulusan baik dalam mata pelajaran Sains serta Matematik untuk memasuki bidang TVET dan ia dapat melatih mereka supaya bersedia untuk berada dalam industri.
“Pendekatan kreatif ini boleh menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja yang diperlukan oleh industri tertentu dalam negara,” katanya selepas menghadiri Sesi Dialog Menteri Pendidikan Tinggi dengan Industri E&E di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai laporan berkaitan kekurangan pelajar dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) di sekolah menjadi antara punca kemerosotan kemasukan pelajar dalam program kejuruteraan pada peringkat universiti.
Presiden Persatuan Kebangsaan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Bumiputera Malaysia (PKIBM), Amir Hamzah Md. Isa sebelum ini mengakui bahawa, sejak beberapa tahun lalu terdapat cabaran untuk mendapatkan pelajar untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan.
Mengulas lanjut, Zambri berkata, kerajaan sentiasa mencari pendekatan yang luas dan fleksibel, di mana sistem pendidikan tinggi di Malaysia tidak lagi hanya berteraskan kampus atau universiti.
“Sebab itu kerajaan memperkenalkan dan memberi penekanan kepada program TVET. Malah, kita mahu mempertingkatkan taraf TVET termasuk dalam bidang kejuruteraan dan bidang teknikal yang penting yang lain,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Sesi Dialog Menteri Pendidikan Tinggi dengan Industri E&E
dianjurkan khas bagi perbincangan dua hala mengenai keperluan sektor E&E.
“Sesi dialog hari ini adalah satu pencapaian penting yang menekankan komitmen KPT. Dalam hal ini, KPT komited dalam menyediakan bakat masa depan negara dengan pengetahuan dan kemahiran termaju yang diperlukan untuk menyokong teknologi yang berubah dengan pesat dalam industri E&E,”katanya.-UTUSAN










