NIBONG TEBAL : Senarai nama calon PKR yang berpotensi untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap telah dihantar ketika ini.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid, hari ini.
Mohamad berkata, menerusi senarai tersebut, sebanyak tiga hingga lima nama calon telah disenarai pendek untuk dipertimbang serta diperhalusi termasuk di peringkat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH).
“Calon-calon ini berusia antara 30 hingga 60 tahun dan ada di antara mereka terdiri daripada kalangan anak tempatan iaitu lahir atau membesar di Sungai Bakap itu sendiri,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika hadir meninjau projek-projek mitigasi banjir di DUN Sungai Bakap yang turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek serta Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari.
Mengulas mengenai desakan sesetengah pihak yang mahu melihat UMNO bertanding kerusi Sungai Bakap pada PRK nanti, Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berkata, perkara itu tidak sepatutnya berbangkit ketika ini.
“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah bersetuju bahawa PH akan bertanding kerusi itu dan akan menyokong calon yang akan ditentukan nanti.
“Begitu juga dengan Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal, Datuk Rashidi Zinol yang menyatakan bahawa kerusi tersebut akan ditandingi oleh calon dari PKR berdasarkan kepada PRN (Pilihan Raya Negeri) yang lalu.
“Jadi, daripada kenyataan dua pimpinan UMNO itu, jelas menyatakan bahawa mereka memberikan laluan kepada calon PH yang akan bertanding pada PRK Sungai Bakap nanti,” ujar beliau.-UTUSAN










