NIBONG TEBAL : Kerajaan negeri menafikan bahawa beberapa projek baharu yang disusun di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap ketika ini umpama ‘gula-gula’ yang ditabur untuk menagih undi penduduk di situ menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, hal ini demikian kerana, projek-projek tersebut telah diluluskan lebih awal iaitu sebelum kematian penyandang kerusi DUN Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff.
Kata beliau, secara kebetulan, tiga daripada keseluruhan projek itu yang meliputi projek pembangunan serta mitigasi banjir jangka pendek akan dilaksanakan di Sungai Bakap.
Jelasnya, lokasi yang dipilih pula ialah di Kampung Changkat Dain, Kampung Besar dan Kampung Sepulau yang sering berdepan masalah ketika banjir termasuk banjir kilat.
“Kita jangka, sekurang-kurangnya 150 orang penduduk akan mendapat manfaat daripada jumlah pelaksanaan projek fizikal ini yang dianggarkan mencecah RM600,000.
“Ketiga-tiga projek ini akan bermula pada penghujung bulan ini dan ia dijangka memakan masa selama tiga bulan untuk disiapkan,”katanya ketika meninjau projek-projek mitigasi banjir di DUN Sungai Bakap bersama Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek.
Sementara itu, Zairil turut mengumumkan dua projek mitigasi banjir jangka panjang yang telah dilaksanakan di bawah peruntukan Persekutuan dengan kos sebanyak RM 246 juta.
Katanya, projek tersebut ialah Projek Tebatan Banjir Lembangan Sungai Jawi dan Projek Tebatan Banjir Sungai Kechil.
“Kedua-dua projek tebatan banjir ini dijangka dapat menyelamatkan sebanyak 10,088 penduduk yang terjejas akibat banjir di DUN Jawi dan Sungai Bakap selain mengurangkan kekerapan serta pertambahan keluasan kawasan banjir sebanyak 1,790 hektar,”ujar beliau.-UTUSAN










