KANGAR: Pakatan Harapan (PH) disifatkan kehabisan modal memainkan isu kelulusan akademik calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Pengerusi PN negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, PH cuba mencari kelemahan pada calon ditampilkan PN walaupun isu kelulusan akademik tersebut bukannya merupakan sesuatu yang wajib untuk dipenuhi.
Katanya, perkara yang lebih utama untuk diberi perhatian adalah calon ditampilkan itu seharusnya seorang yang baik dan prihatin untuk bersama-sama rakyat.
“Saya rasa untuk jadi wakil rakyat bagi mengurus manusia ini, dia tak perlukan kelulusan terlalu tinggi.
“Pendidikan ini tak menjadi isu sangat walaupun kelulusan tinggi itu kita perlukan untuk tadbir negeri, tapi ia bukan sesuatu yang wajib,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Rumah Kelab Persatuan Wartawan Perlis (PWP), Jalan Penjara, di sini, hari ini.
Isu kelayakan akademik calon PN dari Pas, Abidin,56, mula menjadi perdebatan apabila dia diberitakan memiliki sijil Pertubuhan Antarabangsa untuk Piawaian atau ISO sedangkan sijil tersebut diberikan kepada organisasi atau syarikat sahaja dan bukannya individu.
Bagaimanapun, selepas itu, bapa kepada dua orang anak itu tampil menjelaskan isu sebenar dan mendakwa, terdapat kekeliruan ketika perkara itu diumumkan pada majlis pengisytiharan calon PN.
Dalam PRK DUN Sungai Bakap 6 Julai ini, Abidin bakal berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin, 60, yang merupakan seorang pemegang PhD dan pernah menjawat jawatan Pengarah Institut Aminuddin Baki cawangan Utara sebelum meletak jawatan tahun lalu.
PRK bagi kerusi DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff daripada PN 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Tambah Mohd. Shukri yang juga Menteri Besar, isu yang dimainkan PH itu tidak akan memberi kesan kepada PN yang diyakini mampu mempertahankan kerusi DUN berkenaan.-UTUSAN










