PRK Sungai Bakap : Calon PKR sah wakili Kerajaan Perpaduan

PRK Sungai Bakap : Calon PKR sah wakili Kerajaan Perpaduan

CHOW Kon Yeow (depan, tiga dari kanan) ketika sidang akhbar di Wisma DAP, George Town, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mewakili Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow selepas kesemua kepimpinan Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang sebulat suara bersetuju dalam mesyuarat khas hari ini agar calon PKR diletakkan sebagai wakil Kerajaan Perpaduan dalam PRK berkenaan.

Kon Yeow berkata, keputusan itu dicapai tanpa sebarang pertikaian dan tiada mana-mana parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan meminta wakil daripada parti mereka untuk diletakkan sebagai calon.

“Barisan kepimpinan Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang putuskan dengan sebulat suara bahawa PKR akan menghantar calon dalam PRK Sungai Bakap.

”Ia berdasarkan semangat parti yang bertanding sebelum ini diberi keutamaan untuk bertanding semula dan PKR bersedia menyahut mandat daripada barisan kepimpinan Perpaduan untuk pilih seorang calon bagi PRK Sungai Bakap.

“Parti lain juga tidak minta untuk bertanding atas semangat parti yang bertanding sebelum ini diberi peluang untuk tanding semula, sebelum keputusan ini dibuat pun, parti lain beri sokongan kepada PKR untuk hantar calon,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma DAP, di sini hari ini.

Terdahulu, anggota Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada parti PKR, UMNO, DAP dan Amanah mengadakan mesyuarat khas berhubung persediaan menghadapi PRK Sungai Bakap.

Yang turut hadir, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar dan Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Muhammad Faiz Fadzil.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid akan dilantik sebagai Pengarah PRK Sungai Bakap dan empat orang Timbalan Pengarah PRK dari parti komponen Kerajaan Perpaduan juga akan dinamakan kemudian.

“Kita akan memasuki pertandingan ini atas semangat kebersamaan dan semangat perpaduan yang sudah dapat kita jalinkan dalam pilihan raya sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Nurul Izzah berkata, PKR mempunyai lima nama calon untuk dipertimbangkan sebagai wakil parti dalam PRK Sungai Bakap itu.

“Memadai saya katakan kita ada calon-calon daripada kedua-duanya (lelaki dan perempuan), sudah tentu calon yang boleh menang dan mempunyai pengaruh di kawasan berkenaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN