GEORGE TOWN : Polis mengesahkan telah menerima laporan mengenai pergaduhan membabitkan dua lelaki tempatan di sebuah kedai makan, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid berkata, terdahulu, pihaknya terkesan dengan satu rakaman video tular berdurasi hampir dua minit yang dimuat naik ke dalam laman sosial X berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2 petang semalam.
“Semakan lanjut mendapati, kejadian tersebut berlaku pada 31 Mei lalu (Jumaat) iaitu kira-kira pukul 4 pagi di sebuah kedai makan di George Town yang melibatkan dua lelaki tempatan.
“Laporan polis pula diterima kira-kira pukul 8.07 malam pada 1 Jun yang lalu daripada mangsa,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Razlam, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Dalam hal ini juga, polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi serta tidak menularkan lagi rakaman klip video berkenaan,” katanya.-UTUSAN










