PETALING JAYA: Rompakan kedai emas di sebuah pusat beli belah di Kajang dekat sini dipercayai dilakukan empat lelaki bersenjata api, semalam mengakibatkan kerugian dianggarkan RM3.2 juta.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd. Nasir Drahman berkata, buat masa ini belum ada sebarang tangkapan dan pihaknya sedang giat memburu suspek.
“Siasatan kes masih berjalan. Setakat ini tiada tangkapan. Kerugian dianggarkan RM3.2 juta,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Menurutnya, seramai tujuh saksi telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan setakat ini termasuk pekerja di kedai emas terbabit.
“Kita dalam tindakan untuk merakam keterangan beberapa lagi saksi,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan empat lelaki bersenjata api dan berpakaian seperti pengawal keselamatan, merompak kedai emas di sebuah pusat beli belah di Kajang dekat sini, semalam.
Rompakan dilaporkan berlaku sekitar pada 3.17 petang dengan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang menerima laporan awam berhubung kejadian kira-kira 3.30 petang.
Mohamad Nasir dilaporkan berkata, empat lelaki itu dilihat memakai baju seakan pengawal keselamatan, bertopeng serta bersarung tangan gelap.
Beliau berkata, suspek didapati bersenjatakan dua pistol dan selaras senapang dengan salah seorang melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis berkenaan.
Mereka kemudian memecahkan cermin tempat simpanan emas menggunakan tukul besi sambil mengambil barang kemas.
“Kesemua suspek kemudian melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah bangunan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat), jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati walaupun tidak membabitkan kecederaan mahupun kematian.
Mohamad Nasir turut meminta saksi awam tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd. Afiq Farhan Mohd. Nor di talian 012-2446768 atau mana-mana balai polis berhampiran.- UTUSAN









