NIBONG TEBAL: Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap sah menyaksikan pertembungan ‘satu lawan satu’ antara calon Pakatan Harapan (PH) atau Kerajaan Perpaduan, Dr. Joohari Ariffin dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail.
Perkara itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi PRK tersebut, Khairulnizam Hashim kira-kira 10 minit selepas proses penamaan calon ditutup pukul 10 pagi semalam.
Menurut Khairulnizam, hanya dua kertas penamaan calon diterima dan tiada kertas yang ditolak dengan Joohari menjadi calon pertama yang menyerahkan borang pencalonan iaitu kira-kira pukul 9.03 pagi.
Hadir mengiringi Joohari ialah Setiausaha Cabang PKR Nibong Tebal, S Galaimani dan penyokong, Ketua Puteri UMNO Nibong Tebal, Ameera Nadia Mohd. Shafiee.
Manakala, Abidin pula menyerahkan borang penamaan beberapa minit selepas Joohari dengan diringi oleh pencadang yang juga Bendahari Jentera Pilihan Raya PN, Abdul Rahman Hashim serta penyokong, Setiausaha Jentera Pilihan Raya PN, Amizan Ariffin.
PRK DUN Sungai Bakap terpaksa diadakan berikutan kematian Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat penyakit keradangan dalam perut.
Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal sebelum itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang bagi kerusi tersebut Ogos lalu selepas menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose daripada PKR dengan majoriti 1,563 undi.
Sementara itu, Joohari ketika ditemui pemberita semalam berkata, beliau mahu kekal fokus akan permasalahan prasarana yang dihadapi penduduk setempat sepanjang berkempen.
Katanya, penekanan terhadap isu prasarana itu antara lain melibatkan masalah berkaitan bekalan air, banjir serta isu kerosakan jalan raya yang membelenggu penduduk serta memerlukan perhatian segera.
“Itu adalah aspirasi yang diutamakan susulan isu prasarana ini sering menjadi masalah kepada masyarakat kita.
“Dengan sokongan padu penyokong dan pimpinan Kerajaan Perpaduan, saya berkeyakinan bahawa kita akan kembali ke Dewan Negeri (sebagai wakil rakyat) sekali gus berupaya menyelesaikan isu setempat,” katanya. – UTUSAN










