PETALING JAYA: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-59 Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) di Kuching, Sarawak, hari ini.
Keberangkatan Seri Paduka adalah sebahagian daripada pengisian lawatan baginda ke negeri Bumi Kenyalang.
Dalam titah perasmian, Seri Paduka yang juga Penaung Diraja PPPM, menzahirkan rasa bangga dengan perkembangan ahli-ahli persatuan yang seiring dengan keperluan semasa.
“Kehendak dunia semakin berubah dan dalam era globalisasi dan revolusi industri 4.0 ini, perubahan yang mendorong inovasi serta kreativiti berlaku pada kadar yang amat pantas, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
“Mesyuarat Agung Tahunan merupakan ruang berkecuali bagi setiap organisasi untuk berbincang dan membuat keputusan yang akan membawa faedah kesemua ahlinya. Gunakanlah ruang ini untuk menggerakkan persatuan ini dengan lebih baik lagi,” titah Raja Zarith Sofiah.
Turut hadir ke majlis yang berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) itu ialah isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Fauziah Mohd. Sanusi; isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan isteri Premier Sarawak, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang. – UTUSAN










