KUALA TERENGGANU : Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu belum menerima laporan rasmi mengenai dakwaan seekor tapir ditemukan di pekarangan Klinik Kesihatan Marang dekat sini, semalam.
Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segera dengan bergegas ke lokasi penemuan binatang tersebut sekiranya menerima laporan.
“Setakat ini, Perhilitan Terengganu masih belum menerima sebarang aduan atau laporan berhubung penemuan itu.
“Oleh itu, kita nasihatkan orang ramai agar segera menghubungi Perhilitan agar haiwan itu dapat diselamatkan segera dan dikembalikan kepada habitat asalnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, sebuah rakaman video berdurasi 30 saat tular di media sosial dipercayai tersesat di pekarangan klinik kesihatan tersebut sejak malam tadi.
Keadaan tapir tersebut mendapat simpati pembaca yang risaukan mengenai keselamatannya sekiranya dibiarkan tersesat dalam tempoh yang lama.
Kean Seong menambah, laporan yang pantas daripada orang ramai penting bagi menyelamatkan nyawa haiwan liar tersebut daripada ancaman kematian atau kecederaan.
Menurutnya, sebarang perkongsian maklumat mengenai haiwan dan lokasi penemuannya juga agak berisiko kerana ancaman pemburu haram.
“Oleh itu, kita nasihatkan orang ramai agar segera menghubungi Perhilitan agar haiwan itu dapat diselamatkan segera dan dikembalikan kepada habitat asalnya,” katanya. – UTUSAN










