DUNGUN : Keterujaan seorang pemuda untuk melihat penyu agar yang terdampar di Pantai Teluk Lipat, pagi ini, bertukar duka apabila penyu yang dilihat seakan-akan masih hidup itu sebenarnya telah mati.
Arif Jalaludin Mohd. Ali, 29, berkata, dia menemui bangkai reptilia marin itu kira-kira pukul 7.30 pagi ketika sedang beriadah di pantai tersebut.
“Pada awalnya, saya teruja sebab jarang penyu terdampar di Pantai Teluk Lipat. Lagipun, saya nampak kaki dan kepala penyu tersebut bergerak, saya sangkakan penyu itu masih hidup.
“Bila saya dekati, penyu itu sebenarnya telah mati. Rupa-rupanya, kaki dan kepalanya bergerak-gerak kerana ditolak ombak,” katanya.
Arif Jalaludin berkata, penyu agar tersebut yang dilihat tiada kesan kecederaan dipercayai telah mati beberapa hari lalu berikutan beberapa anggota badan termasuk di bahagian mata telah mulai reput.
“Saya tak pasti punca sebenar penyu ini mati sebab ini kali pertama saya menemui bangkai penyu.
“Bagaimanapun, saya agak kesal sebab di kawasan pantai ini terdapat banyak sampah sarap yang mungkin boleh menjadi punca kematian penyu,” katanya.
Menurutnya, dia turut menghubungi pihak berkaitan untuk memaklumkan penemuan bangkai penyu agar tersebut. – UTUSAN










