Penyelam sukarelawan temui pukat hantu - Utusan Malaysia

Penyelam sukarelawan temui pukat hantu

SEBAHAGIAN daripada penyelam yang menyertai program DAD bergambar bersama sampah sarap yang dikutip di dasar laut di perairan Pulau Perhentian, di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Seramai 30 penyelam sukarelawan termasuk lima wanita yang menyertai program antarabangsa Dive Against Debris (DAD) di Pulau Perhentian, dekat sini, menemukan pukat hantu atau ‘Ghost Net’ di perairan pulau peranginan itu, hari ini.

Ahli Geologi, Profesor Azhar Hussein yang turut menyelam berkata, pukat hantu sepanjang kira-kira sembilan meter itu dipercayai dihanyutkan arus ketika cuaca buruk ke kawasan dasar laut tersebut.

Bagaimanapun, menurutnya, pukat hantu itu tidak dapat dinaikkan ke darat kerana ia memerlukan satu pasukan khas dengan menggunakan bot untuk menarik dan menaikkan pukat tu ke darat.

“Pukat hantu itu tidak boleh dipotong sesuka hati kerana ia boleh merosakkan terumbu karang dan ekosistem dasar laut berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pukat hantu atau ‘Ghost Net’ adalah istilah digunakan bagi merujuk kepada peralatan menangkap ikan seperti pukat, jaring atau jala yang hilang atau terbiar akibat tersangkut di dasar laut semasa menjalankan operasi menangkap ikan.

Pukat hantu yang sering ditemukan penyelam setiap kali menjalankan aktiviti di dasar laut, bukan saja berisiko memerangkap hidupan marin, malah mampu ‘membunuh’ terumbu karang yang menjadi sumber makanan dan pembiakan ikan.

Azhar berkata, penyelam menumpukan kerja mengutip sampah sarap yang berada di dasar laut, selain menaikkan beberapa pukat-pukat kecil.

Tambahnya, pada masa sama, kira-kira 120 sukarelawan termasuk warga asing dan pelancong turut mengutip sampah di pantai Long Beach dekat Pulau Perhentian.

“Sampah sarap yang dikutip dari dasar laut dan sampah yang dikutip di pantai Long Beach akan diasing, ditimbang dan direkodkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×