Penyasaran subsidi diesel bantu golongan berhak – PM

Penyasaran subsidi diesel bantu golongan berhak – PM

ANWAR Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mene­gaskan, penyasaran subsidi diesel semalam adalah keputusan langkah ketiga terbesar selepas pelarasan tarif elektrik dan peng­apungan harga ayam sehingga mampu menyelamatkan kira-kira RM10 bilion wang negara.

Beliau berkata, jumlah itu boleh disalurkan untuk keperluan rakyat seperti menampung pengangkutan awam dan sebahagiannya untuk menambah suntikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang mana skim ini mencecah RM10 bilion.

“Skim SARA (Sumbangan Asas Rahmah) pula dinaikkan dari RM300 ke RM700, bayangkan STR untuk 9 juta orang yang dapat terus bantuan tunai subsidi yang berjumlah RM10 bilion.

“Wang itu bukan untuk naik­kan elaun menteri ataupun ke­pentingan lain, saya tumpukan hal ini (bantuan rakyat), penya­saran subsidi itu untuk pastikan subsidi tidak diberi kepada orang mahakaya,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan di sini semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menjelaskan, kerajaan tidak membuat keputusan terburu-buru dalam penyasaran subsidi diesel semalam selepas menangguhkan beberapa bulan untuk membuat persiapan rapi bagi memastikan golongan sasar lain tidak terjejas dan terus me­nerima subsidi.

Beliau berkata, hampir 30,000 kumpulan rakyat masih mene­rima manfaat seperti golongan nelayan, pengangkutan awam, pekebun kecil termasuk pekebun sayur di Cameron Highlands ke­rana tidak mahu dijadikan alasan untuk menaikkan harga.

“Kita teliti dan dalam jemaah menteri pun hampir setiap minggu mendapat liputan dan perkembangan untuk pastikan pelaksanaan itu berkesan.

“Dasar itu memang baik, semua perdana menteri dari dulu setuju mesti ada penyasaran subsidi malah ini dibincang semasa saya jadi Menteri Kewa­ngan dulu, lebih 25 tahun sudah dibicarakan perlu ada penyasaran subsidi.

“Tetapi tidak berupaya dila­kukan kerana tidak mudah, selalunya pimpinan politik fikir juga kesan negatif, kalau tarik subsidi atau naikkan cukai memang membebankan dari segi pandangan politik.

“Namun dalam pertimbangan kita, saya beritahu rakan jemaah menteri, kita kena buat keputusan baik iaitu sementara kita harus bantu rakyat majoriti, kita tidak harus beri subsidi kepada golongan mahakaya, industri-industri besar dan orang asing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×