Penyasaran subsidi bukan untuk naikkan elaun menteri, bantu rakyat berhak - PM

Penyasaran subsidi bukan untuk naikkan elaun menteri, bantu rakyat berhak – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Langkah penjimatan kerajaan dalam penyasaran beberapa subsidi bukan untuk menaikan elaun menteri atau kepentingan lain, sebaliknya untuk membantu golongan rakyat yang benar-benar berhak. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, penyasaran subsidi diesel semalam adalah keputusan langkah ketiga terbesar selepas pelarasan tarif elektrik dan pengapungan harga ayam sehingga mampu menyelamatkan wang negara kira-kira RM10 bilion.

Beliau berkata, jumlah itu boleh disalurkan untuk keperluan rakyat seperti menampung pengangkutan awam dan sebahagiannya untuk menambah suntikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang mana skim ini mencecah RM10 bilion.

 “Skim SARA (Sumbangan Asas Rahmah) pula dinaikkan dari RM300 ke RM700, bayangkan STR untuk 9 juta orang yang dapat terus bantuan tunai subsidi yang berjumlah RM10 bilion.

“Wang itu bukan untuk naikkan elaun menteri ataupun kepentingan lain, saya tumpukan hal ini (bantuan rakyat), penyasaran subsidi itu untuk pastikan subsidi tidak diberi kepada orang mahakaya,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bersama Warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menjelaskan, kerajaan tidak membuat keputusan terburu-buru dalam penyasaran subsidi diesel semalam selepas menangguhkan beberapa bulan untuk membuat persiapan rapi bagi memastikan golongan sasar lain tidak terjejas dan terus menerima subsidi.

Beliau berkata, hampir 30,000 kumpulan rakyat masih menerima manfaat seperti golongan nelayan, pengangkutan awam, pekebun kecil termasuk pekebun sayur di Cameron Highlands kerana tidak mahu dijadikan alasan untuk menaikkan harga. 

“Kita teliti dan dalam jemaah menteri pun hampir setiap minggu mendapat liputan dan perkembangan untuk pastikan pelaksanaan itu berkesan.

“Dasar itu memang baik, semua perdana menteri dari dulu setuju mesti ada penyasaran subsidi malah ini dibincang semasa saya jadi Menteri Kewangan dulu, lebih 25 tahun sudah dibicarakan perlu ada penyasaran subsidi.

“Tetapi tidak berupaya dilakukan kerana tidak mudah, selalunya pimpinan politik fikir juga kesan negatif, kalau tarik subsidi atau naikkan cukai memang membebankan dari segi pandangan politik.

“Namun dalam pertimbangan kita, saya beritahu rakan jemaah menteri, kita kena buat keputusan baik iaitu sementara kita harus bantu rakyat majoriti, kita tidak harus beri subsidi kepada golongan mahakaya, industri-industri besar dan orang asing,” katanya. 

Anwar pada masa sama bersyukur parti-parti pembangkang selain Kerajaan Perpaduan menyambut baik, malah tidak menentang tetapi hanya mahu memantau pelaksanaanya.

Beliau berkata, tindakan pelarasan tarif elektrik juga kurang kontroversi kerana ia hanya terkesan kepada 15 peratus kumpulan rakyat tertinggi dan warga asing, sebaliknya menyelamatkan 85 peratus rakyat lain dengan penjimatan RM4.5 bilion setahun.

Selain itu, katanya, pengapungan harga ayam pula menjimatkan RM1.2 bilion kerana faedah subsidi itu lebih banyak kepada syarikat besar dan kartel ayam.

“Maknanya politik stabil dan ketegasan tekad politik itu penting. Sebab itu selalu saya kaitkan dengan tatakelola, hentikan rasuah kerana ini membantu kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×