Peniaga char kuetiau dipenjara 4 tahun, amang seksual anak tiri dalam bilik hotel

Peniaga char kuetiau dipenjara 4 tahun, amang seksual anak tiri dalam bilik hotel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan dua sebatan terhadap seorang peniaga char kuetiau yang mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya berusia 13 tahun dalam bilik sebuah hotel, awal bulan ini.

Hakim Mohd. Kafli Che Ali memerintahkan lelaki berumur 44 tahun itu dipenjara bermula tarikh tangkap pada 4 Jun lalu disamping menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan serta pengawasan polis selama setahun selepas tamat tempoh hukuman.

Tertuduh mengaku sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan cara menyentuh kemaluannya bagi tujuan seksual dalam bilik hotel di Bandar Tasik Selatan di sini pada 12.44 tengah malam, 3 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta sebagai tambahan hukuman bagi Seksyen 16(1) itu, boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan boleh juga dihukum sebatan tidak kurang dua sebatan.

Mengikut fakta kes, mangsa dari Bagan Serai, Perak sepatutnya menaiki bas dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk ke sebuah sekolah di Johor Bahru, Johor.

Namun apabila mangsa dan tertuduh tiba di terminal bas itu pada 2 Jun, tertuduh memberitahu mangsa bahawa tiket bas habis dijual dan hanya ada pada keesokannya (3 Jun).

Mereka kemudian menginap di sebuah hotel dan semasa berada di dalam bilik itu, tertuduh meminta mangsa merapatkan kedua-dua katil tetapi mangsa enggan kerana berasa tidak selesa.

Bagaimanapun, tertuduh tetap merapatkan kedua-dua katil itu dan mangsa yang tidur pada malam itu terjaga daripada tidurnya apabila menyedari tertuduh menyentuh kemaluannya.

Mangsa mengadu kepada kakak kandungnya melalui WhatsApp dan satu laporan polis dibuat sebelum tertuduh ditangkap.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira statusnya sebagai bapa tiri yang sepatutnya menjadi pelindung kepada anak tirinya meskipun tiada pertalian darah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×