Pengusaha bas, lori terjejas boleh terima bayaran bali

Subsidi diesel: Pengusaha bas, lori terjejas boleh terima bayaran balik

Polarisasi kaum
ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengusaha bas dan lori yang tidak mempunyai kad fleet boleh mendapatkan rebat tunai atau pemulangan subsidi diesel.  

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, dakwaan permohonan segelintir pengusaha bas dan lori untuk mendapatkan kad itu tidak diluluskan sehingga membebankan mereka adalah tidak benar.

“Sekiranya dia berada dalam kategori yang telah diluluskan maka dia ada hak dan kelayakan untuk dapatkan kad fleet. 

“Kebanyakannya mungkin dari segi permohonan yang dibuat agak lambat, jadi dia tak dapat kad fleet sebelum pengumuman dibuat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Sebelum ini, media melaporkan Gabungan Persatuan Lori dan Bas mendakwa hanya permohonan syarikat besar diluluskan manakala ahli syarikat kecil belum menerima sebarang maklum balas. 

Anthony berkata, pihak berkaitan hanya perlu menyimpan resit sebagai bukti untuk mendapatkan pemulangan subsidi. 

“Jadi, akan ada mekanisme untuk kita membuat pemulangan subsidi kepada pengusaha-pengusaha tersebut. Mekanisme itu akan diumumkan Kementerian Kewangan dalam masa terdekat.  

“Mereka mesti simpan resit untuk buktikan berapa banyak diesel yang digunakan bagi mendapatkan pemulangan,” katanya.

Sementara itu, katanya, ketiadaan notis panjang berhubung pelaksanaan pengapungan harga diesel adalah bagi mengelakkan berlakunya kekurangan bekalan bahan bakar tersebut. 

“Kita dah cakap perkara ini berbulan-bulan mengenai rasionalisasi subsidi ini. Memang semalam umum pengapungan harga, tetapi kita dah bagi petunjuk. 

“Kalau kita bagi notis panjang, semua orang akan pergi pam diesel. Stesen minyak akan kekurangan stok dan bekalan juga terjejas. Semua masalah ini kita sudah bincangkan sebelum membuat keputusan. Jadi, penting untuk semua pihak faham mengapa kerajaan perlu melaksanakan dasar ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN