KEMAMAN: Seorang pengasuh terpaksa beraya di lokap selepas ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes bayi perempuan berusia lima bulan yang patah tangan kiri dan mengalami pendarahan otak selepas dihantar ke rumahnya di Taman Banggol Indah, Paya Berenjut, di sini, Khamis lalu.
Perintah reman bermula hari ini sehingga Jumaat depan itu dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
Terdahulu, pengasuh berusia 29 tahun itu ditahan polis kira-kira pukul 3.30 petang semalam di kediamannya bagi membantu siasatan.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan seorang bayi perempuan disedari patah tangan kiri dan mengalami pendarahan otak ketika diperiksa pegawai perubatan di Hospital Kemaman, pada Khamis.
Bayi malang itu dibawa ibunya ke hospital itu untuk menerima rawatan kira-kira pukul 11.30 pagi, selepas ibu mangsa mendapati anaknya dalam keadaan tidak bermaya ketika mengambil bayi itu di rumah pengasuhnya.
Sebelum kejadian, ibu bayi itu bergegas mengambil anaknya selepas dihubungi pengasuh yang memaklumkan anaknya tidak sihat dan demam, selepas sejam bayi itu dihantar untuk dijaga kira-kira pukul 10 pagi.
Pegawai perubatan yang merawat bayi tersebut membuat laporan polis kira-kira pukul 1.30 tengah hari pada hari sama, selepas pemeriksaan lanjut mendapati bayi itu patah tangan kiri dan mengalami pendarahan otak.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan dilaporkan berkata, pihaknya akan membuat siasatan menyeluruh sama ada terdapat sebarang kecuaian, pengabaian atau unsur jenayah. – UTUSAN










