Penganjur konsert sokong langkah Puspal perketat kriteria bawa masuk artis luar - Utusan Malaysia

Penganjur konsert sokong langkah Puspal perketat kriteria bawa masuk artis luar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah syarikat Banyak Bagus Entertainment, David Chua Boon Ghee, 33, menyokong tindakan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) yang membariskan peraturan ketat terhadap kemasukan artis antarabangsa ke negara ini.

Katanya, peraturan-peraturan berkenaan adalah perlu bagi memastikan artis luar menghormati sensitiviti dan norma masyarakat tempatan dan tidak sewenang-wenangnya membawa masuk budaya tidak sihat ke Malaysia.

“Saya faham kenapa Puspal laksanakan syarat yang ketat dan saya menyokong apa yang mereka telah tetapkan. Tindakan itu adalah untuk kebaikan negara ini.

“Saya sebelum ini menetap di Los Angeles, Amerika Syarikat selama 10 tahun dan sempat beberapa kali menonton anugerah Grammy secara langsung. Dua tahun lalu saya tonton persembahan penyanyi Sam Smith di anugerah itu. Saya agak terganggu dengan persembahannya yang ada unsur penyembahan syaitan dengan gaya pemakaiannya yang melampau.

“Sebenarnya, banyak pengaruh tidak sihat dari negara Barat yang perlu kita sekat. Itu belum lagi dengan gerakan penyembah syaitan, fahaman Lesbian, gay, bisexual dan transgender dan sebagainya yang ibaratnya dinormalisasikan di sana.

“Sebab itu saya faham, kenapa kita perlu bariskan sekatan sebelum membenarkan mana-mana artis luar masuk ke Malaysia supaya pengaruh-pengaruh ini dapat kita kekang daripada menular ke negara kita,” katanya.

Puspal mengenakan syarat yang agak ketat sebelum membenarkan mana-mana pihak membawa masuk artis atau produksi luar sama ada untuk menjalankan penggambaran filem atau drama di negara ini atau menganjurkan konsert.

Antara yang ditolak adalah persembahan yang mencabar polisi nasional merangkumi isu bangsa, agama, budaya serta yang menyentuh sensitiviti masyarakat tempatan.

David dalam pada itu bersyukur dengan ketegasan Puspal dalam soal ini. Katanya, selagi mampu, kerajaan dan masyarakat perlu sama-sama menolak budaya tidak sihat dan bertentangan norma tempatan daripada menyelinap ke negara ini.

“Saya bakal menjadi bapa. Bayangkan kesan pengaruh-pengaruh tidak sihat kepada anak-anak saya sekiranya mereka terdedah dengannya menerusi konsert dan sebagainya.

“Sebab itu, dalam hal ini, saya bersama Puspal. Mereka berusaha keras mahu melindungi generasi muda kita daripada anasir-anasir negatif dan melampau dari Barat. Saya sepenuhnya sokong usaha ini,” kongsinya lagi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×