PUTRAJAYA: Hadiah kemenangan berupa Dana Kandungan Kreatif (DKK) untuk kategori terpilih Anugerah Seri Angkasa 2024 (ASA 2024) akan diagihkan lebih sistematik tahun ini.
Setiausaha Bahagian Pembangunan Kandungan Kementerian Komunikasi, Norhadznita Mohammad Ilham berkata, perkara itu dilakukan selepas mengambil kira kritikan terhadap proses pengagihan dana yang lewat diberikan kepada pemenang tahun lalu.
“Tahun lalu adalah kali pertama kami memberikan hadiah Dana Kandungan Kreatif kepada pemenang.
“Oleh itu, terdapat salah faham dari segi pengagihan iaitu siapakah yang patut menerima dana tersebut,” katanya.
Norhadznita berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan pemenang ASA 2023 bagi kategori Drama TV Terbaik dan Dokumentari TV Terbaik yang menunggu sehingga setahun untuk menerima dana dijanjikan.
Susulan daripada itu, selaku penganjur, Norhadznita telah berjanji bahawa ASA 2024 akan dijalankan lebih tersusun agar perkara tersebut tidak berulang kembali.
“Kali ini saya boleh janjikan perkara tersebut tidak akan berlaku.
“Kami sudah membuat penambah baikan,” katanya ringkas.
Norhadznita ditemui Utusan Malaysia semasa sidang media Anugerah Seri Angkasa 2024 di Kementerian Komunikasi pada Jumaat.
Menerusi ASA 2024, penganjur menjanjikan DKK berjumlah RM200,000 dan RM150,000 kepada pemenang bagi kategori Drama TV Terbaik dan Dokumentari TV Terbaik.
Membawakan tema ‘Kilauan Prestij, Citra Kegemilangan’, pencalonan ASA 2024 bakal dibuka bermula 1 Julai sehingga 14 Julai tahun ini.
Penyertaan perlu dikemukakan melalui organisasi penyiaran yang berlesen dan pertama kali disiarkan di stesen penyiaran dan platform media baharu dalam tempoh antara 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2023.
ASA telah dianjurkan sebanyak 35 kali sejak tahun 1972 merupakan inisiatif penting kerajaan melalui Kementerian Komunikasi untuk mengiktiraf dan memartabatkan industri penyiaran tanah air serta penggiat di belakang tabir. – UTUSAN









