PETALING JAYA: Seorang penganggur ditahan kerana disyaki merogol teman wanitanya sehingga hamil dalam kejadian di Flat Cahaya, Ampang dekat sini.
Tahanan itu dibuat selepas polis menerima aduan daripada pegawai perubatan yang didatangi remaja berusia 16 tahun untuk menerima rawatan apabila tahap sel darah merah gadis itu rendah pada 1 pagi, 18 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa yang tidak bersekolah itu telah hamil 32 minggu.
“Mangsa dipercayai melakukan hubungan seks ketika berusia 15 tahun sembilan bulan dengan teman lelaki yang dikenali selama setahun.
“Susulan itu, kita menahan lelaki berusia 20 tahun pada 12 tengah hari, Jumaat lalu di Wangsa Maju bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, suspek direman tujuh hari sehingga 28 Jun ini dan disiasat di bawah seksyen 376 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










