Pempengaruh mengaku tak bersalah curi telefon bimbit bekas teman lelaki

Pempengaruh mengaku tak bersalah curi telefon bimbit bekas teman lelaki

SARAH Leo Ee May (dua dari kanan) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Tindakan seorang pempengaruh media sosial mencuri telefon bimbit bekas teman lelakinya yang bernilai RM2,000 mengundang padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Sarah Leo Ee May, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nadratul Naim Mohd Saidi.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah mencuri sebuah telefon bimbit jenama Oppo Reno 8 5G yang bernilai RM2,000 milik Andrew Yeap Hue Beng.

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 10 malam 26 April lalu dalam sebuah kenderaan di tempat letak kenderaan di Hospital Gleneagles, di sini.

Oleh yang demikian, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, M. Darrshini manakala tertuduh diwakili peguam Cha Eng Soon.

Terdahulu, ketika prosiding, Darrshini memohon agar wang jaminan berjumlah RM7,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Peguam tertuduh, Eng Soon bagaimanapun memohon agar wang jaminan dikurangkan kepada jumlah yang minima memandangkan wang tersebut adalah sebagai jaminan untuk tertuduh hadir ke mahkamah dan bukan untuk menghukum tertuduh.

Tambahan pula, Eng Soon berkata, kes yang berlaku melibatkan anak guamnya itu berpunca daripada perselisihan faham dengan bekas teman lelakinya sahaja.

“Perkara yang berlaku adalah berpunca daripada selisih faham antara anak guam saya dengan bekas teman lelakinya. Jadi, saya memohon agar jumlah jaminan yang minimum dikenakan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan 24 Julai depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN