KUANTAN: Seorang pelayan kedai makan maut selepas motosikal ditungganginya merempuh seekor lembu yang melintas jalan di Jalan Pantai Sepat, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa, Mohamad Daniel Asraf Abdul Zahir, 20, yang beralamat di Kampung Cheruk Paloh, dekat sini, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari arah Tanjung Lumpur.
Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian iaitu berhadapan dengan The Saddle Resort, tiba-tiba seekor lembu melintas jalan menyebabkan mangsa hilang kawalan dan melanggar haiwan berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran mengalami kecederaan parah.
“Mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk siasatan lanjut dan bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan Covid-19 diperoleh,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










