Pekerja restoran didakwa atas tiga tuduhan berkaitan kumpulan Daesh

Pekerja restoran didakwa atas tiga tuduhan berkaitan kumpulan Daesh

Muhammad Muzzammil Mohd. Mohlis dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas Daesh. UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Seorang pekerja restoran didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan memberi sokongan, memiliki artikel dan video serta mengaku sebagai ahli kumpulan pengganas Daesh, bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Muhammad Muzzammil Mohd. Mohlis, 35, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd. Suah.

Pengakuan tidak direkodkan kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa  memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan cara menggunakan aplikasi media sosial, Facebook atas nama Ibn Nuhas dan Telegram atas nama Wilayah Maliziyah (Malaysia).

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas, Tingkat 24 Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, pukul  4.50 petang pada 31 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 40 tahun atau dengan denda dan mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu dirampas, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki artikel-artikel dan video item berkaitan Daesh di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda manakala mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu dirampas.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengaku keahlian kumpulan itu dengan cara melakukan upacara bai’ah dengan pemimpin Daesh, Abu Hafs AL Hashimi Al-Qurashi sebagai khalifah untuk memberi sokongan kepada kumpulan pengganas itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah pangsapuri di Jalan Cheras, Batu 4 di sini, pada 10.08 pagi, Mei lalu.

Lelaki tersebut didakwa mengikut Seksyen 130J(2)(d) kanun sama dan berdepan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 40 tahun atau denda dan mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu dirampas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×