PBT Kelantan pantau pokok ‘berpenyakit’

PBT Kelantan pantau pokok ‘berpenyakit’

HILMI Abdullah (tengah) bersalaman dengan para petugas kebersihan Jabatan Perkhidmatan Bandar MPKB-BRI di Panji, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan sentiasa menyelenggara pokok-pokok di kawasan bandar di negeri ini secara berkala bagi menggelak ia tumbang akibat dipukul ribut sekali gus boleh membahayakan orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, selain itu, pihaknya terus memberikan respons segera dengan memotong bahagian pokok yang membayakan pengguna sejurus menerima aduan.

“Saya akui banyak pokok yang sudah berusia atau lama dan besar, namun ia tidak boleh ditebang sewenang-wenangnya. Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah diberi arahan supaya memantau pokok-pokok yang sudah berusia terutama di tepi jalan atau jalan utama yang melibatkan penjagaan kesihatan serta inventori pokok.

“Untuk menebangnya kita perlu melihat secara terperinci seperti kesihatan pokok di bahagian akar atau sebagainya. Sekiranya perlu atau pokok itu ‘berpenyakit’, kita akan tebang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Meraikan Petugas-Petugas Kebersihan Jabatan Perkhidmatan Bandar Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Panji di sini, hari ini.

Hilmi memberitahu, PBT akan terus bertindak memotong bahagian dahan pokok yang berjuntai dan merbahaya kepada orang ramai.

Bagaimanapun, katanya, sejak awal tahun hingga sekarang, tiada berlaku kejadian pokok tumbang di kawasan bandar atau jalan utama di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN