GEORGE TOWN : Kerajaan negeri mengarahkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk memberi rebat kepada rakyat Pulau Pinang bagi membantu mengurangkan beban mereka susulan kenaikan tarif air bermula Februari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, keputusan itu dicapai dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri yang bersidang pada hari ini.
“Kerajaan negeri mengambil maklum rintihan mengenai kadar tarif air domestik baharu yang dilaksanakan sejajar dengan pelarasan semula tarif air oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang telah berkuatkuasa sejak Februari 2024.
“Walaupun Pulau Pinang masih lagi menikmati tarif kedua terendah di negara Malaysia dengan tarif baharu, namun, ramai yang mengeluh kerana peningkatan yang mendadak berbanding dengan tarif dahulu yang tidak diselaraskan selama 31 tahun bagi band pertama (20 meter padu) dan sembilan tahun bagi band-band lain.
“Justeru, MMK negeri yang bersidang pada hari ini telah memutuskan untuk mengarahkan PBAPP untuk memberi rebat kepada rakyat Pulau Pinang,” katanya di sini hari ini.
Menurut Zairil, pemberian rebat itu dalam bentuk air percuma sebanyak 10,000 liter air pertama bagi setiap bil selama enam bulan berkuatkuasa mulai Julai sehingga Disember ini.
“Kerajaan negeri juga memperluas skim Rebat Mesra Keluarga RM20 bagi isi rumah besar (lapan orang dan ke atas) dengan pendapatan RM5,000 ke bawah, iaitu peningkatan daripada RM2,250,” katanya.
Tambahnya, dengan rebat di atas, semua pengguna air domestik akan menikmati rebat sebanyak RM6.20 pada setiap bil.
“Sebagai contoh, pengguna dalam band pertama hanya perlu membayar RM6.20 (RM12.40 tolak RM6.20) untuk dua bulan.
“Pengguna dalam band kedua yang dibil sebanyak RM30 hanya perlu membayar RM23.80 untuk dua bulan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri berharap agar bantuan air percuma sebanyak 10,000 liter air pertama kepada semua pengguna air Pulau Pinang selama enam bulan, serta rebat RM20 kepada isi rumah besar dengan pendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah akan sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban rakyat.-UTUSAN










